Sunday, March 10, 2013

LATIHAN BERSAMA DI DOJO KELAB KARATE-DO TANJUNG PAPAT SANDAKAN (KKTPS)

Karate dicipta untuk tujuan keamanan, bukan sebaliknya. Tiada siapa yang boleh melabel atau dilabel sebagai seorang karateka yang hebat, kerana sehebat-hebat seseorang, ada lagi insan yang lebih hebat dari dirinya. Ilmu karate yang ada pada diri kita, janganlah dibangga-banggakan sebaliknya perlu dikongsi demi kebaikan bersama. Menyedari hakikat itu, Persatuan Karate-do Shotoshinkai Sandakan telah mendapat jemputan dari Kelab karate-do Tanjung Papat Sandakan untuk menjalani latihan bersama di Dojo KKTPS, Jalan Sim-Sim Sandakan. Kedatangan kami disambut dengan penuh hormat dan amat dinanti-nantikan oleh pihak KKTPS. 


Sebelum sesi latihan bermula, kami mengambil sedikit masa untuk berlatih mengenai SEIZA, iaitu cara hormat dalam karate Tradisional suatu ketika dahulu. Latihan ini diketuai oleh Sensei Shim Yee Fong dari salah sebuah kelab karate yang ada di sandakan. Latihan ini juga adalah sebagai persediaan untuk seminar yang akan diadakan pada 14 April 2013 nanti yang mana Jurulatih jemputan pada waktu itu ialah Sensei Alex Sham. Setelah selesai, latihan seiza, Sensei Somi mengambil alih sesi latihan dengan memperkenalkan beberapa teknik kumite yang sering kali digunakan dalam setiap perlawanan. Teknik tersebut merupakan teknik asas dan boleh dipelbagaikan lagi mengikut kemampuan seseorang. Meskipun masa yang diambil untuk kumite adalah singkat, namun itu cukup bermakna buat kami semua.

Latihan Kata diteruskan dan dikendalikan oleh Sensei Alnadine Barri. Latihan dimulakan dengan kata asas iaitu Taikyokyu Shodan sehingga kata Kanku Dai. Disamping itu, karateka dari KKTPS juga mengambil kesempatan dengan mempersembahkan Kata Berpasukan lelaki dan wanita mereka untuk diberi perhatian serta dinilai oleh Sensei Alnadine. Ternyata, persembahan mereka sangat baik dan masih boleh diperbaiki lagi. Meskipun tidaklah sehebat jurulatih yang sememangnya pakar dalam Kata, beliau sempat memberi sedikit panduan tentang aspek-aspek yang perlu ada dan perlu ditekankan dalam kata berpasukan. Latihan tamat kira-kira pukul 9.30 malam dan jika berkesempatan, pihak KKTPS akan bertandang pula ke Dojo Shotoshinkai kelak. Pihak Shotoshinkai mengucapkan jutaan terima kasih kepada KKTPS atas jemputan dan penghormatan yang diberikan.



Alnadine Barri
10 Mac 2013

Saturday, March 9, 2013

LATIHAN PERTAMA DI INSTITUT LATIHAN PERINDUSTRIAN (ILP) SANDAKAN

Syukur ke hadrat ilahi kerana Persatuan Karate-do Shotoshinkai Sandakan telah berjaya melebarkan sayap untuk menubuhkan kelab karate di Institut Latihan Perindustrian Sandakan. Minat yang mendalam mendorong Jurulatih Kanan, En. Alnadine Barri membuat permohonan untuk mengadakan latihan di institut berkenaan kepada Pengarah ILP Sandakan. Maklumbalas yang diterima adalah positif dan latihan pertama telah dibuat pada 20hb Februari 2013. Memandangkan Kokurikulum di ILP diadakan setiap hari Rabu, pukul 3.00 petang, En. Alnadine tidak dapat melaksanakannya kerana beliau bekerja pada masa berkenaan. Walaubagaimanapun, menurut En. Suhaidi Mustar, beliau boleh menarik masa kokum pada waktu malam. Oleh demikian, latihan tersebut diadakan setiap hari Rabu, jam 7.45 malam hingga 9.45 malam. Menurut En. Suhaidi lagi, beliau amat mengalu-alukan sekiranya terdapat kakitangan atau anak kakitangan ILP yang berminat untuk menyertai kelab tersebut.

Pada kesempatan ini, pihak persatuan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pengarah ILP Sandakan atas kepercayaan dan kebenaran yang diberikan oleh beliau untuk Shotoshinkai menubuhkan kelab dan seterusnya mengadakan latihan di institut berkenaan.
    Sesi latihan dilaksanakan oleh para Senior Belt Shotoshinkai. Ianya adalah sebagai pendedahan kepada mereka tentang cara pengendalian kelas. Para Senior belt ini akan mengambil ujian pada 31 Mac 2013 ke tahap Black Belt 1st Dan (Shodan)

Bersama barisan pembantu jurulatih dan pelajar-pelajar ILP Sandakan



Disediakan oleh;
Alnadine Barri
8 Mac 2013