Friday, August 21, 2009

Shotoshinkai Karate-Do bertapak di SABAH


Penubuhan Shotoshinkai di Sabah pada tahun 2009 bermula apabila seorang pelajar karate iaitu Alnadine Barri yang juga merupakan anak murid kepada Sensei Hasnaol kembali semula ke Sandakan untuk menjalani latihan praktikal di Jabatan Perhutanan Sabah. Beliau pada ketika itu masih menuntut di Universiti Utara Malaysia dalam tahun akhir pengajian. Pada setiap hujung minggu, beliau sering melawat ke kelas Sensei Hasnaol untuk berkongsi pengalaman dan cerita mengenai perkembangan karate di UUM khasnya. Dalam setiap pertemuan itu jugalah, sensei Hasnaol sering menyatakan kekecewaannya terhadap pengurusan Persatuan Karate Sabah samada di peringkat daerah mahupun di peringkat negeri yang mana pada pandangan beliau persatuan tersebut tidak seperti dahulu lagi. Setelah mendengar keluhan dan pandangan yang acap kali dinyatakan oleh Sensei Hasnaol, saudara Alnadine Barri telah mencadangkan agar Sensei Hasnaol berhubung dengan pengasas Shotoshinkai Malaysia, Shihan Ridzuan Md. Zain untuk menubuhkan persatuan tersebut di negeri Sabah. Sejurus pertemuan itu, Alnadine menghubungi Shihan Ridzuan menerusi telefon dan juga email pada 29 Mac 2009 ( Ahad ).

Akhirnya pada 30 Mac 2009, Shihan Ridzuan Md. Zain telah  membalas email tersebut dan memberi kebenaran secara bertulis kepada Sensei Hasnaol untuk menubuhkan Shotoshinkai di Sandakan, Sabah. Dalam surat tersebut, Sensei Hasnaol telah diberi mandat sebagai Ketua Jurulatih Shotoshinkai Sabah sementara Sensei Alnadine Barri sebagai Jurulatih Kanan. Di awal penubuhan, terdapat banyak halangan dan dugaan yang terpaksa ditempuhi oleh dua orang jurulatih ini, namun berkat kesabaran dan kesungguhan, Persatuan Karate-Do Shotoshinkai Daerah Sandakan, Sabah secara rasminya telah mendapat kelulusan pendaftaran di bawah Suruhanjaya Sukan (4294/2011) pada 15 September 2011. Kini, persatuan ini dikemudi oleh 3 orang Jurulatih yang bertauliah iaitu Sensei Hasnaol Hj. Liwangsa, Sensei Alnadine Barri dan Sensei Abdullah Hj. Abd Halil. 


Selaras dengan apa yang tercatit dalam Perlembagaan Persatuan yang telah dimeteri oleh Pesuruhjaya Sukan Negeri Sabah, objektif dan fungsi persatuan adalah seperti berikut;

1) Untuk membangun, menggalak dan mempromosi sukan karate-do di daerah sandakan.
2) Untuk merancang dan membangunkan atlet, pegawai, jurulatih dan mencungkil bakat-bakat baru.
3) Untuk memilih atlet bagi mewakili daerah sandakan dalam mana-mana pertandingan sukan karate-do di peringkat negeri.
4) Mewakili daerah sandakan dalam badan sukan negeri bagi mewakili sukan karate-do.
5) Untuk bergabung dengan badan perwakilan di peringkat negeri; dan
6) Untuk menggalakkan pembangunan sukan di peringkat akar umbi melalui penubuhan/ penerimaan ahli gabungan peringkat kelab.

Oleh demikian, jelaslah di sini bahawa kewujudan Persatuan Karate-do Shotoshinkai Daerah Sandakan adalah untuk menggalak, mempromosi dan membangunkan sukan karate dan bukannya untuk tujuan lain. 


* sila layari http://shotoshinkai.wordpress.com/ untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Persatuan Karate-Do Shotoshinkai Malaysia.

Oleh: Alnadine Barri.

Wednesday, August 19, 2009

Ujian Kenaikan Tali Pinggang Pertama


Pada 16 Ogos 2009, Persatuan Karate-Do Shotoshinkai Malaysia, Negeri Sabah telah mengadakan Ujian Kenaikan Tali Pinggang buat kali pertama selepas ianya ditubuhkan pada 30 Mac 2009 di Sandakan, Sabah. Bertempat di S.K Sung Siew Sandakan, ujian ini dikendalikan oleh Ketua Jurulatih Shotoshinkai Sabah, Sensei Hasnaol Hj. Liwangsa dan dibantu oleh saya sendiri, Alnadine Barri.
 
Seramai 26 ahli telah mengambil bahagian dalam ujian pada kali ini. Diharap dengan ujian ini, ia dapat menyuntik semangat ahli Karateka untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti seni beladiri ini.

 Latihan Sebelum Ujian
 Latihan Sebelum Ujian
 Latihan Sebelum Ujian
 selepas ujian